Our social:

Thursday, July 18, 2013

Peranan air

article ni panjang tapi worth reading...aku jumpa ni masa cari punca2 penyakit buah pinggang,,,kenapa aku cari? sebab aku nak cari betul ke minum air selain air ro boleh menyebabkan penyakit buah pinggang...errrr... if know what i mean sapa yang ckp camni...huhu baca dan fikir sendiri....


Peranan air dalam gaya hidup aktif
Oleh: MARY EASAW-JOHN

AIR memainkan peranan yang sangat penting untuk mengekalkan badan kita
sentiasa terhidrat - tidak kontang atau kering.

Dengan gaya hidup yang kian mendesak, kebanyakan daripada kita tidak pernah
lupa untuk makan. Sebaliknya, kita sering mengabaikan pengambilan air
sehinggalah menyebabkan penyahhidratan berlaku.

Selagi dahi tidak berpeluh dan mulut tidak menjadi kering, kita mungkin
tidak banyak memikirkan tentang cecair atau bendalir ini.

Mewujudkan pelan cecair sebagaimana pelan pemakanan sihat adalah penting
dalam kehidupan seharian kita.

Pengambilan cecair boleh berubah-ubah dari air putih atau air masak, jus
buah-buahan atau sayur-sayuran, minuman isotonik, susu serta buah-buahan dan
sayur-sayuran yang sarat mengandungi air.

Berapa banyak airkah yang dikatakan mencukupi?




Terdapat pandangan yang berbeza-beza tentang keperluan cecair di dalam tubuh
badan manusia.

Adalah dianggarkan, orang dewasa kehilangan kira-kira satu hingga dua liter
air sehari menerusi perpeluhan, pembuangan air kecil dan besar serta
pernafasan.

Kita akan kehilangan lebih banyak cecair jika aktif secara fizikalnya.

Dalam pada keperluan individu yang pelbagai; bergantung kepada berat badan,
iklim dan tahap aktiviti, secara umumnya kita disarankan minum
sekurang-kurangnya lapan gelas (240 mililiter segelas) atau bersamaan dua
liter air, sehari.

Minum air. Kenapa penting?

* Badan kita mengandungi sehingga tiga suku cecair. Itulah sebabnya, perlu
untuk kita mengekalkan tahap pengambilan air yang memadai.

* Setiap bahagian tubuh kita dari sel individu ke sistem peredaran
seluruhnya, adalah bergantung kepada cecair.

* Buah pinggang kita yang menapis bahan-bahan tercemar dari aliran darah dan
mengumuhkannya melalui air kencing, memerlukan minimum satu liter cecair
untuk berfungsi dengan sempurna.

* Tanpa cecair, seseorang boleh mati dalam tempoh tiga hari sedangkan kita
masih boleh hidup sehingga lapan minggu lamanya tanpa makanan.

Begitulah jika hendak digambarkan betapa gentingnya untuk mengekalkan badan
anda dihidrat.

Masa untuk minum

Dahaga bukanlah petunjuk yang bagus bahawa sudah tiba masanya tubuh
seseorang itu memerlukan air.

Malah, ia merupakan satu petanda badan telah memasuki tahap penyahhidratan
awal.

Adalah penting bagi kita menambah cecair di dalam badan sekali pun sebelum
berasa dahaga.

Air perlu diminum dalam jumlah sederhana setiap jam, pada hari-hari bekerja.

Kenapa kita sering melupakan pengambilan cecair?

Satu tinjauan yang dikendalikan oleh Temasek Polytechnic, dengan kerjasama
Asian Food Information Centre (AFIC) di Singapura pada tahun 1998 mendapati,
sebanyak 20 peratus daripada 400 responden terlupa untuk minum!

Sementara itu, sebanyak lima peratus lagi berkata, ia merupakan sesuatu yang
"amat menyusahkan'', mencari sesuatu untuk diminum manakala tiga peratus
menyatakan mereka tidak mahu kerap ke tandas.

Sejumlah besar responden tidak menyedari bahawa sesungguhnya, badan kita
mengandungi sehingga tiga suku cecair - sebab mengapa sangat penting bagi
kita untuk mengekalkan tahap pengambilan cecair.

Apakah yang ada di dalam cecair anda?

Dewasa ini, terdapat pelbagai jenis cecair yang boleh kita pilih. Jadi,
rasa-rasanya tiada alasan kita tidak minum secukupnya.

* Air masak atau air putih - pilihan masa dahulu yang paling baik sehingga
kini, sama ada suam atau sejuk.

Sehiris lemon atau limau nipis yang ditambahkan ke dalam air memberikan
perubahan rasa yang menyegarkan.

* Susu - segelas susu rendah lemak didatangkan bersama dengan kalsium,
protein dan air. Kesegaran susu kocak yang diperbuat daripada buah-buahan
segar amat menyedapkan.

* Minuman isotonik - sumber yang baik untuk menggantikan bahan elektrolit
seperti kalium, klorida, natrium dan magnesium bagi mereka yang tidak tahan
dengan keadaan panas dan lembap.

Di mana, dalam keadaan ini peluh tidak dapat dielakkan terutamanya bagi
mereka yang aktif atau terlibat di dalam aktiviti berpanjangan.

Pelbagai perasa minuman isotonik seperti lemon dan oren menggalakkan hidrasi
dengan cara meningkatkan kesedapan rasanya.

* Jus buah-buahan dan sayur-sayuran segar - cara yang baik untuk memulakan
hari anda memandangkan ia menyediakan vitamin dan mineral. Dengan syarat,
anda hendaklah meminumnya sebaik sahaja disediakan.

* Teh - sama ada hijau, hitam atau teh oolong terbukti mempunyai flavonoid,
menjadikannya satu lagi pilihan cecair yang menarik.

* Kopi, terutamanya kopi ais sangat menyegarkan dibuat minum petang.

Bagaimanapun, pengambilan minuman berkafeina secara berlebihan mempunyai
sedikit kesan diuretik (kerap membuang air kecil).

* Sup - pembuka mulut hidangan yang masih digemari sejak sekian lama dahulu
ini turut menawarkan jumlah cecair yang baik.

* Buah-buahan dan sayur-sayuran segar - limau, tembikai, epal, semangka,
anggur, tomato dan mentimun mengandungi antara 70 hingga 80 peratus air
dengan sasaran lima hidangan sehari.

* Manisan pencuci mulut dalam jumlah yang dibenarkan seperti ais kacang,
cendol atau tau-fu-fah menyumbang kepada pengambilan cecair.

Tip mendapatkan lebih cecair

* Minum pelbagai jenis cecair untuk mengelakkan kebosanan dengan jenis
cecair yang sama setiap masa.

* Letakkan kole atau bekas cecair di atas meja kerja anda dan isi semula
kole dengan kerap.

* Apabila anda berhenti berehat, minum air untuk menyejukkan badan anda.

* Bawalah minuman bersama-sama anda ke mana sahaja anda pergi baik di dalam
kenderaan mahu pun beg anda.

* Jika anda bersenam atau sekiranya cuaca sangat panas, jangan lupa
'membanjirkan' tubuh anda dengan lebih banyak cecair.

Minuman isotonik merupakan satu pilihan yang bagus untuk menggantikan semula
elektrolit di dalam badan anda yang telah hilang.

Utusan Malaysia

0 pompang pompang :

Post a Comment

komeng