Our social:

Friday, April 19, 2013

#PRU 13# GE13: BEBERAPA JALAN DI PULAU PINANG DAN MELAKA AKAN DITUTUP

Pulau Pinang, 18 April - Polis telah membuat persedian bagi menghadapi segala kemungkinan dan akan membuat pemeriksaan di kesemua 13 pusat penamaan calon di negeri ini.

Jurucakap unit pilihan raya Polis Kontinjen Pulau Pinang, ACP Roslee Chik berkata, seramai 2,000 pegawai dan anggota polis akan terlibat bagi memastikan penamaan calon berjalan lancar dan akan ditempatkan di sekitar kawasan penamaan calon terutama tempat panas.

Katanya, semua Ketua Polis Daerah di negeri ini juga telah diarahkan mengadakan pertemuan dengan parti-parti politik bagi memberikan penerangan berhubung proses hari penamaan calon.

"Polis akan menutup beberapa jalan masuk dan keluar ke semua pusat mengundi di negeri ini bagi memastikan kelicinan trafik di kawasan berkenaan bermula 7 pagi dan dijangka dibuka semula 11 pagi ," katanya kepada Bernama selepas meninjau
keadaan di Dewan Serbaguna Jawi iaitu pusat penamaan calon bagi Parlimen Nibong Tebal, di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya membuka 13 pusat penamaan calon di negeri ini iaitu tujuh di Seberang Perai dan enam di sebelah pulau.

Di MELAKA, Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Supt Rabuan Pit berkata polis akan memberi tumpuan di kawasan Bukit Katil, Melaka Tengah dan Rim di Jasin yang dianggap kawasan 'panas' sepanjang PRU13.

"Bukit Katil merupakan kawasan panas pada PRU kali ini kerana melibatkan pencalonan dua pemimpin yang mempunyai populariti di kalangan pengikut parti politik masing-masing," katanya pada sidang akhbar.

Parlimen Bukit Katil bakal menyaksikan pertembungan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Rabuan berkata langkah itu diambil bagi mengelak insiden kekecohan yang tercetus dalam dua ceramah politik melibatkan kehadiran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ummi Hafilda Mohd Ali sehingga mencederakan dua anggota
polis di Bukit Katil pada 7 Mac lepas berulang.

Katanya parti politik di negeri ini dilarang menggunakan rumah ibadat sepanjang tempoh berkempen bagi mengelak sebarang insiden yang boleh mencemarkan fungsi rumah ibadat.

Polis akan menempatkan anggota di kawasan rumah-rumah ibadat bagi memantau keadaan, katanya. - BERNAMA

0 pompang pompang :

Post a Comment

komeng