Our social:

Thursday, February 7, 2013

BEKAS KONSTABEL DIANUGERAH DOKTOR PERSURATAN

kongsi daripada fb.

Bekas seorang Konstabel, Usman Awang, telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya, pada 1 Ogos 1983. Inilah pertama kali bekas seorang Konstabel dianugerah ijazah sedemikian. Dr. Usman Awang, yang lebih dikenali oleh kawan-kawan dalam pasukan sebagai Tongkat Warrant, adalah seorang penyair dan sasterawan Negara yang ulung.

Beliau pernah bertugas sebagai Konstabel di Melaka sejak memasuki Pasukan Polis awal tahun 1946. Setelah tamat latihan di Polis Depot Johor Bahru, selama Sembilan bulan lebih, beliau ditugaskan di Bandar Melaka. Di Melaka, beliau pernah bertugas di Cawangan Trafik Tugas Bit dan selepas diisytiharkan Undang-undang Darurat 1948, beliau bertugas dalam Jungle Squad selama setahun.

Minat dan bakat beliau sebagai seorang penulis, mulai tumbuh ketika bertugas di Melaka. Terutama ketika bergaul dengan teman-teman seperti Alimin dan lain-lain yang mempunyai banyak buku bacaan. Sebenarnya mengikut Tongkat Warrant, minat membaca telah ada dalam dirinya sejak di bangku sekolah lagi dan minat itu diteruskan dalam Pasukan dengan menulis puisi, cerpen dan sebagainya.




Menulis ketika itu merupakan suatu kesalahan. Kerana itu beliau menggunakan banyak nama samaran untuk mengelakkan dari dikenakan tindakan dari pegawai atas. Beliau selalu menulis tentang penderitaan kawan-kawan di dalam Pasukan, yang tidak dilayan dengan baik oleh penjajah.

Di Kota Melaka jugalah semangat kebangsaan beliau mula bersemarak. Ini juga akibat bergaul dengan kawan-kawan dari kalangan guru-guru Melayu dan para pejuang kebangsaan ketika itu. Oleh kerana jiwa beliau yang begitu sensitif dan minat beliau begitu kuat untuk menjadi penulis, beliau telah meletak jawatannya dalam tahun 1951 dan terus ke Singapura. Di sana beliau tinggal di rumah seorang kawannya bernama Jymy Asmara, seorang penulis dan bekas seorang anggota Polis.

Di Singapura beliau telah bekerja sebagai wartawan di Melayu Raya, kemudian Utusan Melayu. Sungguhpun kini beliau telah menjawat jawatan yang tinggi, di Dewan Bahasa dan Pustaka berada di puncak yang tinggi, tetapi kepada kawan-kawan lama dalam Pasukan sedikitpun beliau tidak lupa. Dan kawan-kawan sentiasa merasa bangga, bahawa kawan mereka bernama Tongkat Warrant, telah berjaya. Dan mereka selalu menyebut dari kalangan pangkat rendah dan Konstabel, memang ada mereka yang bijak dan berbakat besar. Cuma perlu kepada penghargaan, pengcungkilan dan menggilap. Moga kelak akan lahir beberapa orang Dr. Usman Awang yang bergelar Tongkat Warrant.


Jika Prof. Ismail Hussein dalam Kata Pengantar antologi sajak ‘Gelombang’ menyebut Tongkat Warrant sebagai lambang kepada Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), bagi saya dan ahli polis khasnya dari kalangan pangkat rendah dan Konstabel, Tongkat Warrant adalah ‘tokoh’ kebanggaan, malah lebih dari itu.
Tongkat Warrant dengan segala pengalaman dan pencapaian, bagi ahli polis, adalah merupakan manifestasi fikrah dan sikap jiwa mereka sendiri. Dengan apa yang digarap selama lima tahun dalam Pasukan, merupakan titiktolak kearah apa yang dimanifestasi kini.

Tongkat mendaki tangga kejayaan sebagai sasterawan Negara yang ulung Negara dari tapak pertama dalam Pasukan Polis. Dalam Pasukan Tongkat mengenali erti penindasan, ketidakadilan dan penderitaan manusia. Dan tema inilah menjadi tema utama dalam puisi, cerpen dan novel beliau hingga kini. Tanpa jemu-jemu Tongkat menampilkan kisah penderitaan golongan yang tertindas dan golongan kecil seperti penjual air batu, buruh estet, nelayan, petani dan sebagainya.

Tongkat memasuki polis secara kebetulan ketika menghantar abangnya untuk temuduga polis. Ketika abangnya didapati tidak berjaya kerana ukurannya rendah, Tongkat diminta menggantikan abangnya. Dan dia diterima. Selama dekat sepuluh bulan dalam latihan di Polis Depot Johor Bharu, berbagai cerita menarik dialami oleh Tongkat. Beliau hampir dibuang kerja kerana membantah ketidakadilan pegawai penjajah yang menindas.

Di Melaka sebagai Konstabel beberapa lama, beliau memasuki Jungle Squad ketika Undang-undang Darurat diisytiharkan dalam tahun 1948. Selama setahun dalam Jungle Squad, Tongkat banyak menghayati peri hidup sebagai perajurit hutan melawan komunis. Cerita-cerita masa Jungle Squad dipaparkan indah dalam novelnya ‘Tulang-Tulang Berserakan’.

Pernah juga selama satu minggu beliau tidak dapat bekalan makanan ketika operasi di hutan Melaka. Beliau juga pernah tidur di bawah pokok kayu dalam hujan lebat semalaman dengan nyenyak. Tidak terfikir bagaimana hal demikian boleh berlaku.
Menceritakan kisah-kisah lalu bagi Tongkat cukup bersemangat dan mengharukan. Beliau tidak pernah lupa kepada kawan-kawan yang sama-sama bertugas dulu. Terutama empat puluh orang yang sama-sama dalam latihan dan bertugas di Melaka. Ada yang meninggal dunia, ada yang bersara dan ada yang masih bekerja lagi. Dan kawan-kawan ini selalu bercerita fasal Tongkat yang mereka banggakan.

Tongkat adalah seorang yang lemah lembut dan mudah mesra. Tidak ada sedikitpun sifat sombong diri dan bercakap besar, meskipun beliau kini sudah menjadi orang besar. Beliau sangat mencintai rakyat miskin dan tertindas kerana beliau juga berasal dari mereka.

Dalam bulan Mei 1951, Tongkat meletak jawatan. Beliau ke Singapura menceburi lapangan kewartawanan di Melayu Raya, dan kemudian ke Utusan Melayu. Lepas beberapa lama, beliau bekerja dengan Penerbitan Federal Berhad dan pada tahun 1962 beliau mulai bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kini Beliau Menanti saat ketika untuk bersara, setelah usia beliau menempuh angka 55 tahun.

Demikian Dr. Usman Awang, yang mengguna nama pena Tongkat Warrant, A. Rosman, Adi Tiawarman, Rose Murni, Adijaya, Zaini, Manis, Setiabudi dan Marambuta. Hingga kini beliau telah menghasilkan beberapa buah antologi sajak seperti Gelombang, Duri dan Api, beberapa buah antologi Drama seperti Serunai Malam, Dari Bintang ke Bintang, Tamu Bukit Kenny dan Tirau Zaman, sebuah novel Tulang-tulang Berserakan dan dua buah kumpulan esei.

Dr. Usman Awang, yang bernombor konstabel dulu PC 8574, tetap seperti dulu juga; ramah dan lemah lembut. Tugas beliau sebagai Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera di DBP, sedikit pun tidak menjadi beliau orang lupa daratan dan lupa kepada kawan-kawan lama.

Bagi saya Tongkat Warrant adalah sebagai lambang kepada suatu tanggapan bahawa dari ahli pangkat rendah dan konstabel juga mempunyai manusia intelek yang berjiwa besar. Cuma perlu kepada perhatian dan memberi mereka peluang untuk maju ke tengah gelanggang menjadi mutiara berharga.

Dan sudah tentu akan lahir lebih ramai lagi anggota rendah yang boleh menjadi pejuang sastera dan pujangga Negara.

***Artikel ini ditulis oleh saudara Wan Mohd Said untuk terbitan majalah Berita Bukit Aman pada tahun 1983. Disiarkan kembali untuk dikongsikan bersama. Sasterawan Negara, Allahyarham Dato' (Dr) Usman Awang telah meninggal dunia pada 29 November, 2001, kerana penyakit jantung dan dikebumikan di Perkuburan Islam Bukit Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Al-fatihah…

2 comments :

komeng