Our social:

Thursday, February 14, 2013

14 Feb: Gerakan Hari Menutup Aurat Sedunia

KUALA LUMPUR: Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia ingin menarik perhatian umum berkenaan pelancaran kempen Gerakan Menutup Aurat (Gemar) yang kini telah masuk tahun kedua.

“Gemar merupakan satu usaha kreatif untuk memberi pendedahan dan kefahaman masyarakat berkenaan isu-isu eksploitasi wanita dan lelaki melalui kempen penutupan aurat yang sempurna,” ujar Setiausaha Gemar Malaysia, Hikmah Sahimi dalam satu kenyataan.

Katanya, eksploitasi tubuh sebagai sebuah komoditi komersial jarang disedari oleh masyarakat kerana eksploitasi itu dijelmakan dalam bentuk fesyen atau ‘trend’ tanpa masyarakat sedar tubuh mereka sebenarnya telah dieksploitasi demi keperluan meterialistik.

Tambahnya, terdapat juga tanggapan menutup aurat adalah penyebab kemunduran umat Islam, tidak kurang juga yang mengatakan penetapan menutup aurat ke atas wanita Muslim adalah bentuk penindasan kaum lelaki ke atas wanita.

Sebagai contoh, ujarnya isu yang pernah ditimbulkan oleh salah satu pertubuhan wanita di Malaysia yang mengatakan bahawa wanita mempunyai hak dan kebebasan untuk menentukan cara mereka berpakaian.

“Dalam hal ini, kami berpandangan bahawa dalam Islam hak berpakaian bukanlah hak milik mutlak individu.

“Sebagai hamba Allah, kita perlu memahami hidup sentiasa diikat dengan pelbagai jenis hak antara satu sama lain,” tegasnya.

Katanya, komuniti yang berpakaian sopan adalah hak yang perlu dinikmati masyarakat, sementara persoalan-persoalan lain berkenaan aurat telah juga Gemar sediakan jawapannya di laman ‘facebook’ Gemar Malaysia’.

Justeru, katanya diharapkan ia dapat menjadi rujukan umum bagi mereka yang memerlukannya.

Tambahnya, tarikh 14 Februari pula dipilih sempena sambutan hari kekasih dan ia diharapkan dapat menjadi satu sambutan alternatif kepada keghairahan sambutan tersebut.

Jelasnya, Gemar Malaysia turut menegaskan, sambutan Hari Kekasih oleh warga muslim pada hari ini, tidak lebih dari sekadar eksploitasi komersial untuk melariskan produk-produk cinta, mengambil kesempatan diatas kejalihan dan pendek akal masyarakat.

Katanya, kempen Gemar telah dimulakan di peringkat nasional dan antarabangsa sejak pertengahan Januari.

Kata beliau, di peringkat nasional dan Pulau Pinang khususnya, satu garis panduan mudah telah dipromosiakan di laman ‘facebook’ Gemar Malaysia.

“Melalui garis panduan ini, sesiapa sahaja yang mempunyai kesedaran tentang kempen aurat ini boleh memulakan usaha dakwah mereka di komuniti masing-masing dengan mudah dan secara rasmi, mereka adalah sebahagian daripada 1,500 penyokong Gemar setakat ini,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, katanya hal ini menyatakan bahawa anda tidak berseorangan dalam memperjuangkan isu kewajipan menutup aurat.

Beliau berkata, kempen Gemar Malaysia telah disambut oleh komuniti-komuniti di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Di peringkat antarabangsa, kempen ini dijalankan secara aktif oleh rakan NGO-NGO Indonesia di samping sokongan oleh komuniti muslim Nusantara di Mesir, Perancis dan Hong Kong,” jelasnya lagi.

Katanya, acara kemuncak kempen itu akan diadakan di Pulau Pinang pada 14 Februari iaitu aktiviti turun lapangan untuk temu seru komuniti di sekitar Bayan Baru dan Kepala Batas dan Karnival Gemar di Masjid At-Taqwa, Bertam Indah pada 17 Feb yang akan menampilkan selebriti bertudung Diana Amir sebagai tetamu.

Selain itu, ujarnya penyokong-penyokong Gemar Malaysia di komuniti yang lain juga, merancang aktiviti mereka tersendiri.

Sumber

1 comment :

komeng