Friday, December 2, 2011

Renungan: Hijrah Diri

Surah At Taubah ayat 20 yang bermaksud: “Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan diri, mereka adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah SWT. Mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan menggembirakan mereka dengan rahmat daripada-Nya keredhaan dan syurga. Di dalamnya mereka memperolehi kesenangan yang abadi. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya di sisi Allah itu pahala yang sangat besar.”



Dalam proses kita sebagai manusia untuk menghijrahkan diri untuk mendapatkan keredhaan ilahi ini Rasulullah SAW ada menggariskan panduan kepada umat-umatnya. Baginda bersabda ertinya: “Sesungguhnya berkawan dengan orang-orang yang soleh (orang-orang baik) dibandingkan dengan orang-orang jahat adalah seperti berkawan dengan orang yang menjual minyak wangi berbanding dengan tukang besi. Maka berkawan dengan tukang penjual minyak wangi terkadang dia memakaikan kepadamu atau kamu mengikutnya atau mencium wanginya. Akan tetapi berkawan dengan tukang besi (peniup api) mungkin terbakar pakaianmu atau merasakan panasnya.” (Hadis Riwayat Muslim)



Mengapa sahabat atau kawan memainkan peranan penting dalam penghijrahan diri kita atau kehidupan seharian kita? Ini kerana dengan apa yang dia lakukan akan tempias kepada diri kita sepertimana terperciknya air hujan. Jika berkawan dengan orang yang buruk perangainya lambat laun pasti akan terikut-ikut begitulah sebaliknya jika berkawan dengan orang yang baik, insyaAllah sedikit demi sedikit kita akan tertarik. Dengan perlakuannya, percakapannya, segala tindak-tanduknya, kesabarannya, kesungguhnya, sifat kesederhanaannya dan setiap apa yang dia lakukannya akan tertempias kepada diri kita jika kita bersahabat baik dengan dia (orang yang soleh). Oleh itu pilihlah kawan dari kalangan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya mereka akan memberikan kita kebahagiaan hati yang menjadi titik permulaan hijrah.



Seterusnya secara rasional manusia mempunyai kelebihan dan kepandaian masing-masing. Rasulullah SAW itu sendiri yang mempunyai kelebihan yang dipergunakan untuk kepentingan agama Allah. Dengannya umat Islam sehingga kini memperolehi kesejahteraan dan kebahagiaan. Oleh itu marilah kita menggunakan kelebihan yang ada pada diri kita ini dengan membuat kebaikan sesame manusia. Sepertimana firman Allah dalam surah Az-Zalzalah ayat 7-8 bermaksud: “ Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat biji zarah(sawi) pun nescaya dia akan melihat balasannya pula.”



Bagaimana yang dikatakan kebaikan seberat biji zarah itu? Jawapannya ialah doa. Mendoakan kebaikan/kebahagiaan orang lain adalah merupakan satu kebaikan. Ianya tidak mengeluarkan sesen pun….. tidak memerlukan masa dan tidak merugikan sesiapa. Lihat satu perkara… iaitu hati. Jika hati kita ikhlas dan bersih maka dengan sendirinya hati itu akan berkata-kata dan mengeluarkan satu perasaan yang baik. Apa yang lahir dalam hati itu akan terkeluar oleh kata-kata dan diucapkan dengan lidah. Kata-kata itu adalah doa. Doa yang baik akan termakbul oleh Allah.



Mulakan dengan hijrah hati dan nurani. Seterusnya langkah demi langkah. Aturlah dengan tersusun mohonlah petunjuk dan hidayah. Semoga kita beroleh keberkatan moga dengan penghijrahan diri kita meletakkan kita di antara mereka yang terpilih oleh-Nya yang Maha Mengetahui serta Maha Berkuasa.



Sekian Wassalam.



b/p Ust M Nazim B Ariffin

2 comments:

hanaahmad said...

mak selalu pesan; berkawanlah dengan orang yang baik-baik untuk jadi yang baik.

perkongsian ilmu yang berguna. terima kasih. :)

LadyBird said...

kwn tu pntg.. slh plh kwn leh hancur..