Our social:

Friday, November 25, 2011

Renungan: Ucapan dan Keadaan

1. Perkataan SUBHANALLAH

Ertinya : MAHA SUCI ALLAH



Ianya diucapkan tatkala kita melihat sesuatu perkara yang menggembirakan kita ataupun perkara-perkara yang hebat lagi ajaib. Contohnya tatkala kita melihat orang yang tidak cedera walaupun terlibat di dalam kemalangan. Tujuan kita mengucapkan “SUBHANALLAH” iaitu seolah-olah kita mendidik diri kita: “Wah ! hebatnya orang itu, tak cedera langsung. Tapi Allah lebih Maha Hebat kerana itu semua tidak akan berlaku melainkan dengan izin Allah Ta’ala.



Ianya diucapkan juga apabila kita melihat ada apa-apa perkataan ataupun perbuatan yang menyebabkan seseorang itu syirik kepada Allah.

Ertinya: “ Dialah Allah yang tidak ada sama sekali Tuhan yang layak disembah kecuali dia Yang Maha Berkuasa, Maha Suci, Maha Selamat, Maha Memberi Keamanan, Maha Peneguh, Maha Mulia, Maha Gagah Perkasa, Maha Besar, Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan”. Surah al-Hasyr ayat 23



Lihat penggunaan “SUBHANALLAH” ataupun yang semakna dengannya melalui ayat Al-Quranul Karim di bawah ini:



Ertinya:” Maha Suci Tuhan yang telah memperjalankan hamba-Nya di waktu malam(Isra’) daripada Masjid al-Haram (di Makkah al-Mukarramah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekitarnya, agar Kami menunjukkan kepadanya (Nabi Muhammad saw) beberapa tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Dia (Allah) adalah Tuhan Yang Maha Mendengar Lagi Maha Melihat”. Surah al-Isra’ ayat 1



Ya!, peristiwa Isra’-Mi’raj adalah satu peristiwa yang ajaib lagi hebat, namun sehebat-hebat peristiwa itu, lebih hebat lagi Tuhan yang telah mengatur dan mencipta peristiwa itu, Tuhan itulah Allah Ta’ala Yang Maha Hebat, Yang Maha Mendengar segala doa Nabi-Nya saw dan tohmahan puak-puak yang tidak mempercayai kisah itu dan Maha Melihat segala-galanya. Dan Maha Sucilah daripada segala sifat-sifat yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada Dia.



Ucapan “SUBHANALLAH” ini juga dikenali sebagai “TASBIH”.



2. Ucapan “ALHAMDULILLAH”

Ertinya : Segala puja-puji hanyalah untuk Allah ataupun Segala syukur dan terima kasih hanyalah untuk Allah.



Ianya diucapkan sebagai puja-pujian dan bersyukur di atas segala nikmat yang Allah Ta’ala berikan kepada kita.



Contoh ayat Al-Quranul Karim yang menerangkan hal ini ialah:



Ertinya: Dan Kami cabut segala macam dendam yang berada di dalam dada mereka; mengalir di bawah mereka sungai-sungai dan mereka berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah menunjuki kami kepada (Syurga) ini. Dan kami sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk kalau Allah tidak memberi kami petunjuk. Sesungguhnya telah datang rasul-rasul Tuhan kami, membawa kebenaran, dan diserukan kepada mereka: “Itulah syurga yang diwarisi kepadamu, disebabkan apa yang dahulu kamu kerjakan”. Surah al-‘Aaraf ayat 43.



Ayat di atas menerangkan nikmat yang diperolehi oleh orang-orang yang beriman kelak di hari akhirat iaitu nikmat mendiami syurga yang dijanjikan kepada mereka dahulu. Lihat!, para penghuni syurga nanti akan mengucapkan “ALHAMDULLILAH” sebagai berterima kasih dan bersyukur di atas ganjaran yang Allah Ta’ala berikan kepada mereka dan disebabkan Allah Ta’ala telah mengutuskan kepada mereka wahyu dan panduan melalui Para Rasul as.



Kita juga wajib mengucapkan syukur kepada Allah Ta’ala di atas nikmat sampainya Islam kepada kita dan masih ramai lagi para ulama’, kerana tanpa Islam dan bimbingan para ulama, tidaklah kita layak masuk ke dalam syurga Allah Ta’ala kelak.



Lihat lagi firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Kahfi ayat 1:



Ertinya: “Segala puja-puji hanyalah untuk Allah (Tuhan) yang telah menurunkan kepada hamba-Nya kitab dan tidak pula Allah ciptakan baginya ada sebarang kebengkokan (pertentangan dan perselisihan di antara satu ayat dengan ayat yang lain)”.



Kita juga wajib bersyukur kepada Allah Ta’ala di atas nikmat adanya kitab Al-Quranul Karim sebagai panduan hidup kita, yang mana tanpanya, pastilah kita tidak akan menemui kebenaran dan kejayaan di dunia dan di akhirat.



Selain itu ianya diucapkan apabila kita dipuji, contohnya apabila orang memuja kita lantaran kejayaan kita, lalu kita pun menjawab: “Alhamdulillah, saya berjaya” (Diucapkan ucapan “Alhamdulillah” agar kita tidak lupa bahawa sehebat mana pun usaha kita, ianya tentu tidak akan berjaya jika tidak diizinkan oleh AllahTa’ala).



Ucapan “ALHAMDULILLAH” ini juga dikenali sebagai “TAHMID”.



3. Ucapan “ALLAHU AKBAR”

Ertinya: Allah Maha Besar.



Ianya diucapkan di dalam beberapa situasi

1- Apabila berada di tempat yang tinggi.

2- Apabila berada di dalam ketakutan.

3- Sebagai teriakan untuk menakutkan dan menggerunkan musuh-musuh Allah Ta’ala.

4- Sebagai “pembakar semangat” para pejuang Islam.

5- Ketika azan, takbiratul ihram dan takbir hari raya.



Ucapan ini dikenali juga sebagai “TAKBIR”.



4. Ucapan: “LA ILAHA ILLALLAH”

Ertinya: “Tidak ada sama sekali Tuhan yang layak diibadati melainkan Allah.



Masyarakat Arab biasanya menyebut kalimah ini apabila melihat sesuatu yang menggerunkan ataupun peristiwa yang mengerikan.



Kalimah ini adalah intipati dan dasar ajaran Islam. Silalah melihat kitab-kitab zikir dan wirid yang sahih (seperti RIYADHUS SOLIHIN oleh Al-Imam An-Nawawi ataupun KALIMUT TOIYIB oleh Al-Imam Ibnu Taimiyah) untuk mengetahui kalimah Tauhid ini.



Ia dikenali juga dengan gelaran “TAHLIL”.



5. Ucapan “BISMILLAH”

Ertinya: Dengan Nama Allah.



Ucapan ini dikenali sebagai “BASMALAH”



Dilakukan sebagai menunjukkan adab di antara seseorang hamba dengan Allah Ta’ala ketika melakukan perkara-perkara yang diredhai-Nya.



Ucapan ini dikenali sebagai “BASMALAH” Ertinya di sini ialah: “Bismillah” digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang diredhai oleh Allah Ta’ala sahaja. Seolah-olah tatkala kita membacanya kita turut sama beriktiqad: “Aku menyebut nama Allah ini supaya kerja yang aku lakukan ini dirahmati dan diberkati oleh-Nya.



Adapun jika digunakan untuk perkara-perkara yang dilarang, maka ia adalah haram bahkan kadang-kadang boleh membawa kepada murtad kerana dianggap menghina kesucian ataupun mempersendakan Allah Ta’ala.

Contohnya:

A- Membaca “Bismillah” untuk menyembelih binatang-binatang yang tidak disembelih untuk tujuan yang dibenarkan ( seperti untuk mandi safar, untuk “menjamu” penunggu dan jin.

B- Membaca “Bismillah” untuk “tikam” nombor ekor, toto dan lumba kuda serta sebarang perjudian.

C- Membaca “Bismillah” untuk melakukan jampi-jampian yang dilarang oleh agama kita.

D- Membaca “Bismillah” untuk makan dan minum apa-apa yang haram.



6. Ucapan “MA SYA ALLAH”

Ertinya: Apa yang Allah Kehendaki



Diucapkan ketika melihat apa-apa yang baik dan indah.

Diucapkan juga ketika melihat perkara-perkara yang luar biasa dan hebat (sama seperti Tasbih)

Tidak boleh digunakan sebagai ucapan tatkala melihat sesuatu yang dilarang, contohnya menyebut “MA SYA ALLAH” ketika melihat wanita-wanita yang berpakaian seksi sebab kalimah itu bermakna “Apa-apa yang Allah kehendaki”, sedangkan Allah Ta’ala tidak pernah sama sekali menyuruh wanita-wanita berpakaian seksi di hadapan bukan suaminya. Dan begitu juga tidak boleh mengucapkan kalimah ini tatkala melihat pelakon-pelakon yang seksi-seksi di TV.

Hati-hati dan fahami baik-baik penggunakan kalimah dan ucapan ini !!!.



Ucapan ini diistilahkan sebagai “AL-MASYIAH



7. Ucapan “A’UZUBILLAHI MINASY SYAITONIR RAJIM”

Ertinya: Aku memohon perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam (terkutuk)”.



Diucapkan sebagai memohon perlindungan dan keselamatan kepada Allah Ta’ala daripada segala jenis gangguan, sama ada gangguan syaitan ataupun bala-bencana.



Diucapkan juga sebagai memulakan bacaan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim.



Ucapan ini digelar sebagai “AT-TA’AWWUDZ”.



8. Ucapan “LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAH”

Ertinya : Tidak adalah daya-upaya dan kekuatan (yang sebenar/yang terutama) melaikan dengan izin (pertolongan) Allah.



Diucapkan apabila melihat perkara-perkara yang tidak disukai ataupun apabila kita tidak terdaya untuk melakukan sesuatu.



Dan diucapkan apabila kita merasai kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri kita seperti sedang berhadapan dengan jumlah musuh yang lebih ramai daripada pihak kita.



Ucapan ini dikenali sebagai “AL-HAUQOLAH”.



9. Ucapan “INSYA ALLAH”

Ertinya: Jika diizinkan Allah





Diucapkan apabila kita berjanji untuk menyempurnakan hajat seseorang. Ataupun apabila hati kita berat 70% untuk memenuhi janji itu maka bolehlah kita menyebut “INSYA ALLAH”, tetapi jika kita memang tidak mahu memenuhi hajat itu ataupun hati kita memang berat 70% untuk tidak memenuhinya, maka tidaklah wajar kita menggunakan kalimah ini..[Hasil temuramah di antara Allahyarham S. S Dato’ Ishak Baharom, Bekas Mufti Selangor Darul Ihsan dengan sebuah majalah di Malaysia]



Ucapan ini dikenali sebagai “TAWAKKUL” (Tetapi masyarakat Melayu memanggilnya sebagai tawakkal)



10. Ucapan “BARAKKALLAHU FIK”.

Ertinya: Semoga Allah memberkati engkau.



Diucapkan kepada seseorang yang kita cintai ataupun sebagai doa baginya.

Menurut sunnah ucapan yang seumpama ini diucapkan juga kepada mereka yang baru berkahwin.



Ucapan ini dikenali sebagai “AT-TABARRUK”.



11. Ucapan “JAZAKALLAHU KHAIRAN”.

Ertinya: Semoga Allah membalas jasa baikmu itu dengan kebaikan.



Ucapan ini sebagai tanda terima kasih kita pada seseorang.



Boleh juga diucapkan dengan “JAZAKALLAHU KHAIRAN KATSIRAN” (Semoga Allah membalas jasa baikmu itu dengan kebaikan yang banyak)



Boleh juga diucapkan dengan “JAZAKALLAHU KHAIRAL JAZAK” (Semoga Allah membalas jasa baikmu dengan balasan yang paling baik)



Ianya dikenali sebagai kalimah “ASY-SYUKR”.



12. Ucapan “INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI’UN”

Ertinya: Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali.



Diucapkan apabila ditimpa sesuatu yang tidak dikehendaki seperti banjir, kemalangan, kecurian dan seumpamanya.(Walhal orang-orang kita hanya mengucapkannya tatkala mendengar berita kematian seseorang).



Firman Allah mengenai ucapan ini:

Ertinya:Orang-orang yang sabar itu apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata : Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali. Surah al-Baqarah, ayat 155.



Ucapan ini dikenali sebagai “LIL ISTIRJAA’ /TARJIE’



b/p Ust M Nazim B Ariffin

0 pompang pompang :

Post a Comment

komeng